Friday, 7 March 2014

10 Waktu Mustajab Untuk Berdoa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi  Mengasihani,

3 bulan mengharungi 2014, pelbagai cerita suka duka telah pun ditempuhi. Pemergian ibu saudara yang boleh dikatakan agak akrab dengan saya akibat masalah paru-paru, runtuhnya sebuah mahligai seorang kenalan yang entah apa punca sebenarnya serta masalah kesihatan yang berulang kembali tanpa kepastian apa  penyakit sebenarnya adalah 3 contoh betapa kehidupan ini sukar dijangka. Begitulah putaran hidup kita selagi jasad masih bernyawa. Akan ada saat-saat diuji, yang dirancang juga belum tentu akan terlaksana. Sewaktu-waktunya akan ada halangan yang merintangi. Dan sebagai hamba, harus kita akur dengan kekuasaanNya. Terkadang ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

Hidup setiap dari kita juga ada laluan yang tersendiri. Lain orang, lain pula cabarannya. Ada yang perjalanan hidupnya mudah sahaja. Ada pula yang sepanjang hayatnya sentiasa berdepan dengan dugaan demi dugaan. Diuji dengan seribu satu macam masalah, tidak wajar pula terus berputus asa. Apalagi menuduh yang diatas sana itu tidak adil. Jangan begitu. Jangan menaruh prasangka denganNya, justeru DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Jangan sampai kita kufur nikmat. Teruslah berdoa kerana doa merupakan kuasa besar yang boleh membantu mengubah sesuatu. Ya, kuasa doa memang besar. Cuma jangan salah faham. Jika tanpa berbuat apa-apa, doa tak akan membawa kita ke mana-mana. Ertinya mesti diiringi dengan usaha…. right?


 Bercakap tentang doa, telah banyak disebut-sebut oleh alim ulama bahawa terdapat waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa. Jadi, di sini saya senaraikan 10 waktu  mustajab untuk berdoa untuk perkongsian bersama. Oh ya, semuanya dipetik daripada Majalah MIDI keluaran Mac 2012. Jom baca.

1. Ketika sujud dalam solat
Menurut hadis riwayat Imam Muslim, waktu seorang hamba berada paling hampir dengan penciptaNya, adalah ketika bersujud. Maka digalakkan memperbanyakkan berdoa ketika itu.

2. Setelah membaca tahiyat akhir, sebelum memberi salam ketika solat

3. Sepertiga malam terakhir
Sabda Rasulullah s.a.w ..Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman : ‘ Orang yang berdoa kepada-Ku, akan Ku makbulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku, akan Ku berikan, orang yang meminta keampunan daripada-Ku, akan Ku ampunkan “. ( Hadis riwayat Imam al-Bukhari )

4. Ketika hujan
Rasulullah s.a.w bersabda: Doa tidak tertolak pada 2 waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun “. ( hadis riwayat Imam al-Hakim al-Nishaburi dalam al- Mustadrak )

5. Ketika berbuka puasa
Rasulullah s.a.w bersabda: 3 doa yang tidak tertolak. Doa orang yang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi “.

6. Di antara azan dan iqamat

7. Pada malam Lailatul Qadar
Firman Allah SWT: Malam Qadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam ( yang berkat ) itu hingga terbit fajar! ” ( al-qadr:3-5 )

8. Pada Hari Arafah
Rasulullah s.a.w bersabda:” Sebaik-baik doa adalah pada Hari Arafah “.( Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi )

9. Ketika tejaga dari tidur bagi mereka yang berwuduk dan berzikir sebelum tidur
Rasulullah s.a.w bersabda: ” Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan memakbulkannya “. ( Hadis riwayat Imam Ibnu Majah )

10. Seketika pada hari Jumaat
Terdapat 2 pendapat berbeza tentang waktu ini. Ada ulama mengatakan tatkala imam naik mimbar untuk berkhutbah sehingga selesai solat Jumaat. Ada pula mengatakan seketika selepas solat Asar tatkala menunggu masuknya waktu solat M
aghrib.

Kredit To : Apacerita

No comments:

Post a Comment

Anak-Anak Muslim

Baju Muslimah

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...