Thursday 13 February 2014

Kes kematian akibat denggi meningkat 137%

 

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Sebanyak 19 kes kematian denggi dicatatkan sehingga semalam di seluruh negara pada tahun ini berbanding hanya lapan kes dalam tempoh yang sama 2013.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kes kematian denggi itu meningkat sebanyak 137 peratus dengan Selangor mencatat jumlah kematian tertinggi dengan enam kes.

Malah katanya, sebanyak 10,712 kes denggi dilaporkan sehingga semalam pada tahun ini berbanding 2,836 kes bagi tempoh yang sama 2013. "Selangor serta Kuala Lumpur mencatat jumlah kes tertinggi apabila menerima sebanyak 5,636 dan 1,121 kes sehingga semalam.
"Demam denggi merupakan isu yang besar kepada negara apabila setiap minggu, kita menerima 2,000 kes di seluruh negara," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokaliti panas denggi di Mentari Court di sini hari ini. Sementara itu, Subramaniam berkata, kawasan pangsapuri kos rendah dan sederhana yang tidak diselenggara dengan baik lebih terdedah kepada penularan wabak denggi daripada kawasan perumahan lain. "Ini kerana terdapat Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang menguruskan bangunan tersebut menghadapi masalah mendapatkan dana mencukupi untuk menyelenggara kawasan persekitaran pangsapuri itu secara optimum.

"Oleh itu, saya sarankan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk memikirkan bagaimana mereka boleh memainkan peranan bersama bagi menyelenggara pangsapuri kos rendah dan sederhana agar wabak denggi dapat dicegah," katanya.

Tambah beliau, sepanjang tahun lalu, kementerian telah mengeluarkan sebanyak 15,359 kompaun kepada penduduk dan premis perniagaan yang bermasalah.
"Pada tahun ini, kita telah mengeluarkan 859 kompaun melibatkan pemeriksaan di 164,167 rumah dan pemilik premis perniagaan.
 
"Kita akan terus melaksanakan tindakan tegas iaitu dengan mengenakan kompaun untuk mencegah denggi. Bagaimanapun, sokongan masyarakat merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut," jelasnya.
 
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Anak-Anak Muslim

Baju Muslimah

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...