Wednesday 26 March 2014

Malaysia Di Timpa Bala Bertimpa-Timpa...

Enjin terbakar, pesawat Malindo Air patah balik

 
Sebuah pesawat Malindo Air dalam perjalanan dari Subang ke Kuala Terengganu terpaksa berpatah balik sejurus selepas berlepas kerana kebakaran enjin dalam kejadian pagi ini.

Kesemua penumpang penerbangan, termasuk pasukan bolasepak Liga Super Terengganu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam penerbangan jam 7.30 pagi itu.

Malindo Air dalam satu kenyataan menyebut kejadian itu berlaku ketika pesawat dengan nombor penerbangan OD1804 itu mendaki pada ketinggian 7,000 kaki.

"Sistem pengesan kebakaran diaktifkan dan krew operasi serta-merta melaksanakan semakan kecemasan seperti prosedur operasi standard dalam situasi ini," kenyataan itu dipetik.

Satu kenyataan di laman web Terengganu FA menyebut, pasukan pemain itu menaiki penerbangan ganti ke Kuala Terengganu pada jam 10 pagi ini.

Mereka baru pulang selepas menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Selayang pada malam tadi.

Anggota pasukan tersebut merakam gambar kebakaran berkenaan, yang menunjukkan api besar menyala-nyala dari salah sebuah enjin kipas jenis turboprop pesawat tersebut.

Gambar yang dikongsi meluas di laman sosial dalam masa beberapa jam sahaja, sehingga mencetus kekeliruan apabila ada pengguna yang menyebut pesawat itu dikendali FireFly.

Dalam kenyataan ringkas, FireFly yang merupakan anak syarikat Malaysia Airlines (MAS) menjelaskan mereka tidak mengendalikan pesawat jenis ATR 72 itu.

Kes berkenaan menarik perhatian utama susulan siri kemalangan melibatkan pesawat penerbangan dari Malaysia.

Terutamanya, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang gagal dikesan selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, 8 Mac lalu masih belum ditemui.

Pihak berkuasa Malaysia pada hari Isnin lalu mengumumkan, penerbangan pesawat Boeing 777 itu berakhir di tengah Lautan Hindi, jauh dari sebarang daratan.

Pihak berkuasa MAS pula mengumumkan, kesemua 239 orang dalam pesawat berkenaan dikhuatiri telah meninggal dunia.

Turut menjadi perhatian adalah kes penerbangan MAS MH066 yang terpaksa dilencongkan ke Hong Kong, pada 24 Mac lalu kerana "generator pesawat tidak berfungsi".

Pesawat itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan.

Sehari sebelum itu, penumpang pesawat MAS MH144 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu, Nepal turut mengalami detik cemas apabila sekumpulan itik merempuh cermin hadapannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.
 
 

No comments:

Post a Comment

Anak-Anak Muslim

Baju Muslimah

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...